INPUT GURU AKADEMIK TINGKATAN ENAM TERHADAP 5 DIMENSI IKLIM AKADEMIK PELAJAR

Kertas kerja yang dibentangkan dalam Seminar Penyelidikan Tingkatan Enam Peringkat Daerah PPD SPT di Bukit Mertajam

ABSTRAK

Kertas kerja ini mengkaji input guru-guru akademik tingkatan enam terhadap iklim akademik pelajar di sekolah mereka. Iklim akademik pelajar tingkatan enam terdiri daripada lima dimensi yang penting iaitu i) sikap terhadap akademik ii) jangkaan masa depan pelajar iii) jangkaan ibu bapa dan guru terhadap pelajar tingkatan enam iv) galakan dan norma guru tingkatan enam dan v) norma akademik pelajar tingkatan enam. Kesemua dimensi ini dikaji dengan kaedah tinjauan iaitu pelajar diminta menjawab satu set soal selidik skala likert yang terdiri daripada 26 item soalan mengenai input guru mereka terhadap kelima-lima dimensi tersebut. Guru akademik tingkatan enam terdiri daripada 4 buah sekolah tingkatan enam yang terletak di kawasan Seberang Perai Tengah. Keempat-empat sekolah ini dibahagikan kepad dua profil iaitu sekolah lebih pelajar (SLP) dan sekolah kurang pelajar (SKP). Kaedah tinjauan ini dipilih untuk menjawab soalan kajian iaitu “Apakah input guru akademik tingkatan enam terhadap kelima-lima dimensi tersebut?” Iklim akademik pelajar tingkatan enam ini diuji melalui persepsi pelajar tentang diri mereka dan guru-guru mereka di dua profil sekolah tersebut. Kesemua item dalam soal selidik ini diubahsuaikan daripada Instrumen Haynes dan Comer, Yale University, CT, USA, 1993). 
Keywords : Instructional Leadership, School Academic Climate, Student Academic Climate

1.0 Pengenalan

Iklim akademik sekolah yang berjaya atau positif merupakan asas yang kukuh untuk menjalankan sebarang program pendidikan (Swenny,1988). Iklim akademik sekolah yang menggalakkan akan membolehkan pelajar sekolah tinggi, guru dan pemimpin pengajaran menjalankan fungsi dengan baik dan berkesan iaitu mendorong pelajar sekolah tinggi untuk belajar dan berjaya mencapai hasil persekolahan mereka (Bulach dan Castleman, 1995).Kajian ini memfokuskan iklim akademik pelajar tingkatan enam di sekolah SLP dan SKP. Iklim akademik pelajar tingkatan enam memainkan peranan yang amat penting dalam meningkatkan pencapaian mereka dalam akademik. Persekitaran masyarakat SLP atau di SKP tidak memberi banyak sumbangan kepada pelajar tingkatan enam untuk mencapai hasil persekolahan mereka. Iklim sekolah tingkatan enam seperti persekitaran sekolah, kemudahan fizikal, guru dan kepimpinan sekolah menjadi pendorong kepada kemajuan akademik pelajar tingkatan enam di sesebuah sekolah.

Kajian ini membuat tinjauan tentang persepsi pelajar tingkatan enam mengenai input guru akademik mereka terhadap 5 dimensi iklim akademik pelajar di sekolah SLP dan. Iklim akademik ini dibataskan kepada 5 dimensi yang diubahsuaikan daripada Model Iklim Akademik Haynes dan Comer (1993) iaitu, a) sikap terhadap akademik, b) jangkaan masa depan pelajar 
c) jangkaan ibu bapa dan guru terhadap pelajar d) galakan dan norma guru tingkatan enam dan 
e) norma akademik pelajar tingkatan enam.

2.0 Objektif Kajian

Kajian ini bertujuan untuk: 

-mengkaji input guru akademik tingkatan enam terhadap iklim akademik pelajar tingkatan enam.

3.0 Soalan Kajian

Berdasarkan objektif tersebut soalan berikut telah dikemukakan dalam kajian ini, iaitu:
“Apakah input guru akademik tingkatan enam terhadap sikap pelajar terhadap akademik, jangkaan masa depan, jangkaan ibu bapa dan guru terhadap pelajar tingkatan enam, galakan dan norma guru tingkatan enam dan norma akademik pelajar tingkatan enam”?

4.0 Sorotan Literatur
4.1. Guru akademik tingkatan enam 
Guru akademik tingkatan enam ialah individu yang paling penting dan berpengaruh di sesebuah sekolah.Mereka bertanggung jawab ke atas semua aktiviti yang berlaku di tingkatan enam di sekolah. Merekalah yang menentukan nada kelas, iklim pembelajaran, tahap profesionalisme dan moral guru serta darjat keprihatinan terhadap pelajar tingkatan enam, guru dan sekolah . Mereka bertindak sebagai penghubung utama antara komuniti dengan sekolah. Kepimpinan guru akademik menengah tinggi menyebabkan sekolah itu berjaya, inovatif, fokus pelajar , terkenal dengan kecemerlangan dalam pembelajaran dan cemerlang dalam melahirkan pelajar menengah tinggi yang gigih dan berjaya (House, 1971). 

4.2.Iklim akademik pelajar tingkatan enam
Iklim akademik pelajar tingkatan enam dalam kajian ini mencakupi lima dimensi seperti a) sikap pelajar terhadap akademik b) jangkaan masa hadapan pelajar tingkatan enam c) jangkaan ibu bapa dan guru terhadap pelajar tingkatan enam d) galakan guru dan norma guru dan e) norma akademik pelajar (Haynes dan Comer. 1993). 

Pengajaran yang efektif dipimpin oleh guru akademik yang berkesan manakala pengajaran yang kurang efektif dipimpin oleh guru akademik yang kurang berkesan (Hussein Mahmood, 1993). Kesan tingkah laku guru akademik tingkatan enam terhadap pembelajaran pelajar tingkatan enam disalurkan melalui variabel perantaraan. Bagaimanapun ada juga kajian menunjukkan bahawa tingkah laku guru akademik tidak mempunyai kesan secara langsung terhadap pencapaian pelajar sekolah tinggi di sekolah (Fullan, 2001). Guru akademik menengah tinggi hanya menjalankan tugas dengan menterjemahkan jangkaan tinggi terhadap pelajar tingkatan yang lebih tinggi kepada dasar-dasar sekolah (Hussein Mahmood, 1993). Dasar-dasar ini dilakukan sebagai amalan di sekolah. Amalan-amalan inilah yang memajukan tingkah laku pelajar menengah tinggi ke arah pencapaian dan pembinaan konsep kendiri yang positif. 

Di peringkat sekolah, dasar sekolah memberi kesan terhadap pembelajaran pelajar berkaitan dengan fungsi dan struktur sosialnya. Guru boleh memantau iklim akademik pelajar di sekolah. Hal ini dapat dilakukan dengan memantau kerja rumah pelajar, mengesan kemajuan pelajar, menggred, memulih dan melaporkan kemajuan pelajar kepada ibu bapa pelajar. Guru akademik dan iklim akademik sekolah saling mempengaruhi dan memberi kesan terhadap pencapaian pelajar tingkatan yang lebih tinggi di sesebuah sekolah (Gameron, 1992). Terdapat hubungan timbal balik antara tingkah laku guru akademik tingkatan yang lebih tinggi dengan pencapaian pelajar. 

Tingkah laku rutin guru seperti menetapkan matlamat pengajaran, merancang, mengawal dan menilai prestasi pelajar dan guru secara langsung memberi kesan terhadap iklim akademik kelas-kelas lebih tinggi di sekolah. Model ini juga menunjukkan bahawa pencapaian pelajar adalah kesan langsung daripada tingkah laku guru akademik. 

Kajian Fullan (2001) menunjukkan bahawa kesan tingkah laku guru akademik terhadap prestasi pelajar adalah sedikit tetapi signifikan. Oleh yang demikian amatlah jelas bahawa tingkah laku guru akademik memainkan peranan penting dalam mempengaruhi atau memberi kesan terhadap pencapaian pelajar di sekolah. Model ini amat penting dan efektif untuk mewujudkan sekolah berkesan dan melaksanakan sesuatu program akademik di sekolah. 

5.0 Kaedah Kajian

Pendekatan yang telah digunakan ialah kuantitatif iaitu satu set soal selidik yang terdiri daripada 26 item dijawab oleh pelajar mengikut skala likert. Item-item dalam soal selidik ini adalah mengenai input guru akademik tingkatan enam terhadap iklim akademik pelajar sebanyak 15 item. Hal ini termasuklah norma dan galakan guru, jangkaan guru terhadap pelajar dan pandangan guru terhadap akademik pelajar. Manakala 11 lagi item adalah mengenai persepsi pelajar tentang diri mereka. Hal ini termasuklah sikap mereka terhadap akademik, jangkaan masa depan dan jangkaan ibu bapa dan guru mereka. 

6.0 Dapatan Kajian

Dapatan soal selidik pelajar mengenai input guru akademik mereka tentang sikap terhadap akademik , jangkaan masa depan, jangkaan ibu bapa dan guru terhadap pelajar tingkatan enam, galakan dan norma guru tingkatan enam dan norma akademik pelajar tingkatan enam dibentangkan seperti berikut.

6.1.Sikap terhadap akademik

Mengikut dapatan soal selidik, guru akademik tingkatan enam mentafsirkan sikap pelajar sebagai pelajar yang tidak mementingkan masa depan. Mereka berpendapat nasib pelajar di sekolah mereka hanya berubah jika mereka mengubah ‘mindset’ mereka. Rata-rata guru akademik tingkatan enam tidak bersetuju sama sekali bahawa punca utama sikap pelajar terhadap akademik adalah disebabkan oleh guru sekolah. Mereka berpendapat guru-guru tingkatan enam sama ada di SLP atau di SKP memang sedia membantu pelajar tingkatan enam. 

Menurut guru-guru, pelajar tingkatan enam tidak berminat untuk belajar dan tidak banyak masa digunakan untuk aktiviti pembelajaran. Mereka berpendapat bahawa pelajar tingkatan enam yang bersikap negatif yakin bahawa mereka mudah mendapat pekerjaan di pasaran yang tidak memerlukan kelayakan akademik seperti bekerja sendiri dan bekerja di kilang.

Menurut guru-guru akademik tingkatan enam, terdapat juga satu lagi golongan pelajar yang tidak mempedulikan pelajaran iaitu pelajar ini datang ke sekolah dengan pakaian lengkap tetapi tidak mahu belajar. Mereka enggan membuat sebarang kerja sekolah dan tidak memberi perhatian ketika guru mengajar. Menurut guru SLP, pelajar tingkatan enam seumpama ini tidak begitu ramai. Pelajar ini berasal daripada keluarga berada atau kelas tinggi. Menurut guru, sikap[ negatif pelajar adalah disebabkan oleh ibu bapa mereka terlalu memberi kebebasan dan memberi wang yang lebih daripada cukup sebagai wang saku.

6.2.Jangkaan masa depan pelajar tingkatan enam

Menurut guru-guru akademik tingkatan enam sebanyak 75% pelajar tingkatan enam SLP dan di SKP menyatakan hasrat mereka melanjutkan pengajian tinggi sehingga ke peringkat tinggi. Sebanyak 50% pelajar tingkatan enam ingin melanjutkan pengajian ke peringkat universiti dan 25% pelajar tingkatan enam yang lain ingin melanjutkan pengajian sehingga peringkat kolej sahaja. Guru akademik tingkatan enam menyatakan bahawa tidak seorang pun pelajar tingkatan enam yang hendak menghabiskan pengajian sehingga ke peringkat menengah sahaja. Mereka berpendapat pelajar di SLP mempunyai aspirasi tinggi untuk melanjutkan pelajaran. Guru akademik di SKP pula optimis bahawa pelajar tingkatan enam mereka dapat melanjutkan pelajaran sekurang-kurangnya ke peringkat kolej. Menurut dapatan soal selidik pelajar di SLP, pelajar tingkatan enam sekolah mereka mempunyai tahap keyakinan tinggi. Dapatan juga menunjukkan perspektif yang sama. Cuma bezanya hanya tiga perempat daripada jumlah pelajar tingkatan enam sekolah mereka dapat melanjutkan pelajaran. Dapatan menunjukkan pelajar tingkatan enam sekolah ini tidak begitu mempunyai jangkaan tinggi. Terdapat pelajar mengakui kelemahan mereka. Pelajar seumpama ini menilai diri mereka sama ada boleh belajar terus atau tidak. 

Jangkaan masa depan banyak bergantung kepada guru. Kecuali guru mereka memberi keyakinan tentang masa depan, pelajar tingkatan enam tidak akan menyatakan hasrat mereka. Dapatan menunjukkan bahawa hampir semua pelajar tingkatan enam tidak berani menyatakan pendapat mereka tentang masa depan kepada guru mereka. Guru akademik tingkatan enam dapat mengetahui hasrat mereka melalui percakapan mereka dengan guru kelas mereka. Menurut guru pelajar amat malu bercakap tentang masa depan mereka. Hal ini kerana mereka menganggap kelemahan yang ada pada diri mereka menjadi halangan untuk mereka berjaya. Pelajar-pelajar ini tidak bersikap terus-terang dan hasrat masa depan mereka terpendam begitu sahaja. 

Menurut guru, pelajar di SKP menilai diri mereka sangat lemah, tidak begitu optimis dan bersikap pesimis terhadap diri dan masa depan mereka. Terdapat beberapa orang pelajar tingkatan enam yang pandai bercakap dan sering memberitahu rakan lain bahawa mereka akan melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti dan ada yang ingin menjadi doktor, peguam, jurutera dan sebagainya. Namun dari segi akademik, pelajar-pelajar ini amat lemah dan sudah pasti mereka tidak akan mencapai tahap itu.

Pelajar di sekolah SKP mempunyai jangkaan yang amat tipis. Ibu bapa pelajar di SLP meletakkan harapan mereka terlalu tinggi terhadap anak mereka. Dapatan menunjukkan hanya ibu bapalah yang boleh memberi kata-kata perangsang dan nasihat kepada mereka tentang masa depan pelaja. Kesedaran ibu bapa tentang masa depan anak adalah lebih penting daripada pembentukan sikap oleh guru di sekolah. 
6.3 Jangkaan ibu bapa terhadap pelajar tingkatan enam 

Pelajar-pelajar mengakui bahawa guru akademik tingkatan enam selalu memberi sokongan kepada ibu bapa jika mereka mencadangkan sebarang aktiviti yang berfaedah kepada pelajar tingkatan enam. Menurut pelajar, guru sering menggunakan pelbagai kaedah untuk mempertemukan ibu bapa dan guru. Sebanyak 77% ibu bapa dan guru mempunyai jangkaan yang positif terhadap pelajar mereka. Hal ini dapat dilihat apabila kedua-dua pihak sering mengadakan perbincangan tentang cara-cara meningkatkan pencapaian akademik pelajar. Manakala sebanyak 23% ibu bapa dan guru langsung tidak mempedulikan akademik pelajar tingkatan enam. Mereka tidak begitu yakin dengan pelajar kerana pelajar ini amat lemah dan tidak percaya mereka boleh melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. 

Data menunjukkan bahawa guru-guru datang ke sekolah mengajar mengikut Huraian Sukatan Pelajaran dan tiada sebarang aktiviti tambahan seperti kelas tambahan atau pemulihan kepada pelajar tingkatan enam yang lemah.

Dari segi jangkaan ibu bapa terhadap pelajar tingkatan enam, memang positif di SLP. Mereka amat berpuas hati kerana sekolah menyediakan buku kerja, buku latihan dan alat bantu mengajar kepada pelajar. Guru akademik tingkatan enam sekolah SLP memuji ibu bapa pelajar kerana kerap datang melawat sekolah. Ibu bapa mempunyai jangkaan positif terhadap anak mereka dan menyatakan anak-anak mereka akan berjaya dalam akademik dan mereka berjanji akan membantu sekolah dalam apa jua cara sekalipun.

6.4.Galakan dan norma guru tingkatan enam

Dapatan soal selidik pelajar menyatakan kebanyakan guru mereka memperlihatkan perlakuan yang kurang mesra dengan pelajar tingkatan enam dan tumpuan utama hanya diberi kepada bahan pengajaran. Menurut dapatan, gaya pengajaran guru adalah semata-mata untuk menghabiskan sukatan pelajaran dan pengajaran disampaikan secara umum tanpa mengambil kira sama ada pelajar lemah atau pandai. Sesetengah guru masih mengajar menggunakan kaedah kapur dan cakap dan amat jarang menggunakan alat bantuan mengajar yang disediakan oleh Kementerian seperti laptop, LCD dan internet untuk mengajar subjek-subjek yang abstrak seperti sains dan matematik. Data soal selidik pelajar menunjukkan terdapat segelintir guru kurang berminat dan tidak serius dalam kerjayanya sebagai seorang guru.

Dapatan data juga menunjukkan bahawa rangsangan sikap dan pendekatan guru merupakan pengaruh utama terhadap corak respons pelajar tingkatan enam sekolah ini terhadap pengajaran dan galakan guru. Dapatan mengesahkan bahawa walaupun terdapat guru-guru yang kurang memiliki sahsiah yang positif, tetapi mereka boleh menimbulkan suasana pembelajaran yang memberangsangkan.

Dapatan kajian menunjukkan bahawa pelajar-pelajar mengakui guru mereka memberi galakan yang positif kepada pelajar dan mereka sendiri menjadi contoh yang terbaik kepada pelajar. Data menunjukkan guru-guru di sekolah tingkatan enam ini mengambil berat terhadap pencapaian akademik pelajar dan mereka percaya bahawa pelajar akan bekerja lebih gigih lagi dan tidak akan mensia-siakan masa depan mereka

6.5.Norma akademik pelajar tingkatan enam

Guru akademik tingkatan enam di SKP berpendapat bahawa mereka menilai norma akademik pelajar tingkatan enam dengan menganalisis keputusan akademik pelajar. Menurut mereka, pelajar tingkatan enam amat cepat berpuas hati apabila mereka mendapati keputusan mereka bertambah baik. Mereka berasa bangga jika keputusan mereka meningkat. Guru-guru akademik tingkatan enam menyatakan bahawa norma akademik pelajar tingkatan enam banyak bergantung kepada inisiatif dan konsep kendiri mereka.

Data menunjukkan bahawa pelajar tingkatan enam di SLP menganggap sekolah mereka boleh dipercayai dan guru-guru telah menjalankan tugas mereka dengan baik jika pencapaian akademik mereka bertambah baik. Jika tidak, pelajar sering menyalahkan guru-guru tidak menjalankan tugas. Pelajar tingkatan enam di SLP yang terlalu results oriented cepat berasa hampa dan kecewa jika gagal dan pelajar tingkatan enam di SKP yang bukan results oriented pula tidak menunjukkan sebarang reaksi jika keputusan mereka merosot. 

Sebagai guru akademik tingkatan enam, mereka juga mempunyai persepsi sendiri terhadap pencapaian anak didik mereka. Kebanyakan guru bersetuju memberi pelbagai jenis ganjaran kepada pelajar yang menunjukkan minat dalam akademik. Antaranya memberi hadiah berbentuk buku, mengumumkan nama pelajar di perhimpunan dan menulis surat tahniah kepada pelajar. 

Dari segi keupayaan akademik, kebanyakan guru di SKP menyatakan bahawa mereka berusaha mencungkil minat pelajar terhadap akademik dengan menyediakan latihan-latihan tambahan bagi pelajar yang lemah akademiknya. Mereka kerap meminta guru-guru mencadangkan idea untuk mengukuhkan kemahiran atau penguasaan pelajar dalam sesuatu mata pelajaran.

Guru-guru di SLP mempunyai pandangan yang sama dalam hal ini. Mereka memberi ruang kepada pelajar untuk bertanya soalan kepada guru apabila guru selesai mengajar sesuatu topik. Dalam mesyuarat staf, guru-guru sering diperingatkan supaya menggalakkan pelajar banyak bertanya. Melalui pertanyaan, seseorang pelajar dapat meningkatkan keupayaan akademik mereka.

7.0 Perbincangan 

Guru di SKP berpendapat pelajar terlalu banyak membuang masa dan tidak menganggap akademik itu sebagai satu asas penting untuk masa depan. Terdapat beberapa orang guru tidak bersetuju dengan pandangan mereka. Hasil daripada pemerhatian penyelidik sendiri memang terdapat sikap negatif terhadap akademik dalam kalangan pelajar SKP. . Hal ini kerana seramai 90% pelajar adalah daripada keluarga miskin, kelas pekerja dan keluarga bermasalah. Ibu bapa mereka tidak dapat membantu dari segi akademik di rumah. Malah terdapat ibu bapa sendiri tidak begitu mementingkan akademik. Hal ini sedikit sebanyak memberi impak kepada pelajar tingkatan enam berkenaan. Sikap seumpama ini terdapat juga dalam kalangan pelajar tingkatan enam di SLP. Pelajar di SLP juga menunjukkan sikap negative terhadap akademik. Lemahnya konsep kendiri dalam kalangan pelajar ini menyebabkan mereka tidak begitu mementingkan akademik. Malah sikap mengambil mudah dan suka meniru jawapan kawan serta tidak menyiapkan kerja sekolah di rumah juga antara punca mereka mensia-siakan akademik.

Pelajar tingkatan enam di SKP mempunyai jangkaan masa depan. Guru-guru menyatakan keadaan ini berlaku kerana persepsi sesetengah guru terhadap pelajar mereka. Sesetengah guru menunjukkan persepsi yang positif terhadap pelajar. Walaupun tidak banyak pelajar tingkatan enam sekolah SKP akan melanjutkan pelajaran sehingga ke universiti tetapi mereka masih boleh menamatkan pengajian di peringkat kolej. Sementara pelajar di SLP pula didapati mempunyai jangkaan masa depan yang agak sama kerana mereka sentiasa diberi motivasi dan dorongan oleh ibu bapa mereka yang berpelajaran. Dorongan ibu bapa yang terdiri daripada kelas menengah dan tinggi menyebabkan pelajar di SLP membuat perancangan untuk menghadapi masa depan mereka.

Iklim akademik pelajar tingkatan enam di SKP banyak bergantung kepada sejauh mana jangkaan ibu bapa dan guru terhadap pelajar . Ibu bapa tidak menunjukkan minat terhadap pelajaran anak mereka dan begitu juga dengan sikap segelintir guru memandang enteng terhadap kemampuan dan kebolehan akademik pelajar. Seramai 85% ibu bapa menghantar anak ke sekolah tanpa mempunyai sebarang visi dan misi tentang akademik anak-anak mereka. Ibu bapa dan guru-guru di SLP mempunyai tanggapan yang positif tentang pelajar. Ibu bapa dan guru di sekolah-sekolah ini memberi dorongan sepanjang masa kepada pelajar dan berjaya mengadakan kelas pemulihan, kelas tambahan dan seminar kerjaya serta kem kecemerlangan akademik secara berusaha sama demi kecemerlangan akademik pelajar. 
Pencapaian pelajar tingkatan enam dalam peperiksaan STPM sejak tiga tahun kebelakangan menyokong kepentingan persepsi, kesungguhan dan komitmen ibu bapa dan guru dalam usaha memperoleh kemajuan akademik pelajar tingkatan enam di SLP. Ibu bapa harus lebih proaktif dan konsisten terhadap perkembangan akademik anak-anak mereka. Mereka hendaklah kerap datang berjumpa dengan guru kelas anak mereka untuk mengetahui perkembangan akademik dan tingkah laku anak-anak mereka di sekolah. Ibu bapa yang mempunyai anak yang cemerlang kerap meminta bantuan guru kelas untuk menyemak latihan-latihan tambahan yang dibuat oleh pelajar di rumah. Mereka lebih banyak meluangkan masa dan wang untuk meningkatkan prestasi pelajaran anak-anak mereka. 

Galakan dan norma guru tingkatan enam merupakan faktor yang sangat penting mempengaruhi iklim akademik pelajar di SKP. Galakan guru yang konsisten dan berterusan dengan menasihati pelajar agar selalu memberi tumpuan terhadap akademik , berjaya menimbulkan kesedaran akademik dalam kalangan pelajar. Pengajaran yang stereotaip dapat diperhatikan di sekolah ini. Guru-guru tidak menggalakkan pelajar banyak bertanya dan sebaliknya masa ditumpukan untuk menghabiskan sukatan pelajaran. Sama ada pelajar yang lemah memahami sesuatu konsep atau tidak, jarang diberi perhatian oleh guru. Hal ini disebabkan guru-guru di sekolah SKP kekurangan prasarana pelajaran dan kekurangan pelajar untuk membentuk kumpulan pandai, sederhana dan lemah, melemahkan semangat guru memberi perhatian secara individu. 

Bagaimanapun dapatan soal selidik menunjukkan guru-guru ini tidak patah semangat mengajar pelajar. Fenomena yang berlainan pula didapati berlaku di SLP. Di sini guru-guru mengamalkan suatu sistem kerja yang seragam dan konsisten dan mereka memastikan sistem ini dijalankan sepanjang masa. Penyemakan latihan kerja rumah, penyediaan bahan pengajaran dan pemantauan kemajuan akademik dilakukan sepanjang masa. Pemerhatian penyelidik dan hasil temu bual dengan guru di SKP mendapati galakan dan norma guru di sekolah ini adalah tidak konsisten dan mereka sentiasa mengubah-ubah norma mereka. Manakala galakan dan norma guru di SLP adalah lebih tegas dan tidak berkompromi dengan pelajar dengan norma-norma yang telah ditetapkan.

Dimensi yang paling penting membantu pelajar tingkatan enam untuk mewujudkan iklim akademik ialah norma akademik pelajar. Norma akademik pelajar ialah hasrat, matlamat dan hala tuju pelajar untuk mencapai matlamat pembelajaran. Sikap pelajar SKP yang sering tidak menghabiskan kerja sekolah, tidak membawa peralatan pembelajaran ke sekolah dan selalu memesongkan tumpuan guru apabila guru sedang mengajar dalam kelas menunjukkan mereka memiliki norma akademik yang tidak menggalakkan. Hal ini disebabkan kelemahan dari segi kognitif dan intelek serta tiada bimbingan ibu bapa di rumah menyebabkan pelajar bersikap sedemikian. 

Manakala pelajar di SLP walaupun bukan semuanya mempunyai norma akademik yang positif, tetapi ada di antara mereka memang konsisten dengan kerja-kerja sekolah dan yakin mereka boleh berjaya dalam akademik. Pemerhatian, rekod sekolah dan hasil temu bual dengan guru dan pelajar di SLP menunjukkan norma akademik pelajar tingkatan enam di sekolah ini adalah lebih tinggi. Perkara ini disokong oleh dapatan bahawa pelajar di sekolah ini sering menghabiskan kerja sekolah dengan cepat dan membuat kerja sendiri seperti membaca atau membuat latihan susulan apabila guru sedang melayani pelajar lain dalam kelas.

8.0 Kesimpulan

Tuntasnya, kajian telah menunjukkan bahawa iklim akademik pelajar tingkatan enam di SLP adalah lebih positif berbanding dengan pelajar di SKP. Sumbangan guru akademik tingkatan enam di SLP didapati lebih memuaskan jika dibandingkan dengan sumbangan guru akademik tingkatan enam di SKP. Di samping kepimpinan guru akademik tingkatan enam, terdapat banyak lagi pihak memberi sumbangan yang aktif ke arah peningkatan iklim akademik pelajar tingkatan enam di SLP. Sumbangan-sumbangan tersebut harus diteruskan demi kejayaan akademik yang cemerlang pada masa akan datang.

RUJUKAN

Abdul Shukor b. Abdullah. (1995). Membina sekolah yang berkesan : Aplikasi dasar. Kertas Seminar Sekolah Efektif. Genting Highlands : Institut Aminudin Baki
Bulach, C.R., Malone, B. dan Castleman, C. (1995). An investigation of variabels related to student achievement. Educational Reseracher, 8(2), 23-29.
Fullan, M.G. (1992). Successful School Improvement. Buckingham: Open University Press.
Fullan, M.G. (2001). The New Meaning of Educational Change (3rd Ed). New York: Teachers College Press
Gameron, A. (1992). Social Factors. In Education Encyclopedia of Educational Research 6th ed. New York: Mc Millan.
Haynes, N. M., Emmons, C., & Comer, J. P. (1993). School climate survey. New Haven, CT. Yale University Child Study Center
House, R.J. (1971). A path goal theory of leader effectiveness. Administrative Science Quarterly, 16, 321-338
Hussein b. Mahmood. (1993). Kepimpinan dan Keberkesanan Sekolah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Swenny, J. (1988). Tips for improving school climate. Education Leadership, 46, 200-220

This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s